Sepanjang minggu ini di mana berlangsungnya acara Pebble Beach Concours D’Elegance 2011, Lotus akan memperkenalkan dua buah model signifikan dengan beberapa perubahan ketara pada setiap satunya, Lotus Evora GTE Road Car Concept dan Lotus Exige Matte Black Final Edition.
Penampilan pertama Lotus Evora GTE Road Car Concept
Lotus Evora GTE Road Car Concept baharu akan dipertontonkan kepada dunia buat pertama kali sewaktu pameran Lotus di McCall’s Motorworks Revival, 17 Ogos malam Rabu, di Monterey Jet Center.
Menurut Lotus, Evora GTE Concept dibina dengan satu tujuan utama, iaitu untuk bersaing dalam kategori sukan permotoran global terbaru GTE, yang mana turut termasuk perlumbaan terkenal Le Mans 24 Hours. Bagi meraikan penampilan sulong model itu, Lotus telah membina versi yang diinspirasikan daripada perlumbaan sebenar Evora GTE Road Car Concept.
Hasilnya ia memiliki kuasa lebih 420 bhp daripada enjin perlumbaannya, disalurkan melalui kotak gear perlumbaan sequential AMT, seterusnya dikemukakan ke permukaan litar melalui roda aloi ultra-ringan dengan hub kunci tengah dan disepadukan bersama tayar Pirelli P-Zero Corsa.
Lotus Evora GTE Road Car Concept kemudiannya akan dipamerkan di Pebble Beach pada Khamis, 18 Ogos sehingga 20 Ogos, sebelum dipindahkan ke bahagian pameran Concept Car Lawn sepanjang baki hujung minggu sewaktu berlangsungnya Concours.
Penampilan eksklusif Exige Matte Black Final Edition di Amerika UtaraBagi menandakan berakhirnya era pengeluaran model Exige pula, Lotus telah mengeluarkan rekaan khas Exige Matte Black Final Edition – eksklusif hanya untuk pasaran Amerika Utara. Model Exige merupakan sport car antara yang terkenal dan terhebat di dunia, dan ikon permotoran Final Edition ini turut membuat kemunculan pertama di Pebble Beach, mulai 18 Ogos sehingga 21 Ogos.
Dengan kuasa dinaiktaraf mencapai 257 bhp, warna eksklusif Matte Black, kusyen kulit sport Alcantara dan peralatan standard bertaraf tinggi, Exige Matte Black Final Edition akan menonjolkan sisinya yang cukup menarik. Hanya 25 buah model Exige ini akan dibina, setiap satunya dengan nombor plat berasingan, menjadikannya model koleksi serta-merta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan