2 September 2011 – Selain MPV Nissan Grand Livina, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Sdn Bhd bakal melancarkan varian terbaru Livina, tetapi kali ini bukan lagi sebuah MPV, sebaliknya sebuah..saya sendiri kurang pasti apa kategori model terbaru itu yang dikenali sebagai Nissan Livina X-Gear. Menurut sumber yang saya perolehi sebentar tadi, Nissan Livina X-Gear bakal dilancarkan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi, dan ditawarkan pada harga sekitar RM82k, lebih murah berbanding MPV Nissan Grand Livina.
Livina X-Gear memiliki enjin 1.6 liter dan mempunyai 5 tempat duduk, bukan lagi 7 seperti abangnya, oleh itu ruang bagasi di bahagian belakang sangat luas. Namun saiz panjang model terbaru ini sedikit kurang berbanding MPV Grand Livina, dan rekaan bahagian belakangnya agak berlainan. Saya sempat melihat Livina X-Gear dari dekat sebentar tadi dan merakamkan beberapa keping gambar untuk tatapan semua pembaca Arena Kereta. Kalau diikutkan Livina X-Gear sudah berada di pasaran luar negara seperti di Indonesia dan China, kini gilirannya pula memasuki pasaran Malaysia.
Saya masih menantikan press release rasmi dari Nissan Malaysia sebelum mengulas lebih lanjut berkenaan model ini. Memandangkan MPV Nissan Grand Livina sudah serba lengkap, apa pula alasan saya untuk membeli Livina X-Gear jika diberi pilihan nanti? Lagi pun perbezaan harga antara MPV Grand Livina 1.6 liter manual dan auto cuma sekitar RM4k sehingga RM7k sahaja berbanding harga Livina X-Gear, lainlah kalau harganya di bawah RM80k. Apa pun kita nantikan maklumat lebih lengkap selepas pelancaran nanti, sebelum itu saksikan dahulu galeri Nissan Livina X-Gear.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan